Jaclyn Victor juara GV9, bawa pulang RM100,000

Jaclyn Victor juara GV9, bawa pulang RM100,000

PENYANYI bersuara lantang, Jaclyn Victor menepati ramalan apabila diumumkan sebagai juara program realiti Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), malam tadi.

Jac yang popular menerusi lagu Gemilang menewaskan lima peserta lain iaitu Shila Amzah , Tomok, Bob Yusof, kumpulan VE dan Hazrul Nizam sekali gus membawa pulang wang tunai RM100,000 dan trofi sumbangan Astro.

Pada persembahan akhir, penyanyi itu membawakan lagu medley berjudul It’s All Coming Back To Me Now dan This Is Me serta ‘pusingan battle’ berduet dengan VE menerusi lagu The Real Slim Shady dan Sang Saka Biru.

Penyanyi Bob turut memberi kejutan dengan menduduki tempat kedua yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM 50,000 dan trofi.

Tempat ketiga dan keempat dimenangi Shila Amzah serta Tomok dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan RM20,000 berserta trofi.

Pemenang tempat kelima dan keenam pula VE dan Hazrul Nizam dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan RM10,000 termasuk trofi kemenangan masing-masing.

Acara kemuncak GV9 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Elly Mazlein yang berlangsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menampilkan empat juri iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Edry Abdul Halim.

Pentas akhir GV9 turut diserikan dengan persembahan daripada Ramlah Ram dan Amelina. – Malaysiapost

Komen