Jawatan MB bukan sebab utama rundingan BN-PN Pahang gagal

Jawatan MB bukan sebab utama rundingan BN-PN Pahang gagal

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menolak dakwaan kononnya perebutan jawatan menteri besar antara Barisan BN dan Perikatan Nasional (PN) mengakibatkan rundingan mereka gagal.

Beliau berkata, keputusan BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri bersandarkan tiga asas utama yang dipersetujui kedua pihak.

“Bukanlah penyebab utama (jawatan menteri besar), sebab masa kita berbincang ada tiga sebab utama (untuk membentuk Kerajaan Pahang).

“Jadi (sekarang) kerajaan perpaduan di Pahang, sama dengan peringkat Persekutuan,” katanya dalam sidang media di Pekan, Pahang, hari ini.

Sidang media itu adalah penampilan pertama Wan Rosdy bertemu media selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Dalam PRU15, BN menang 16 kerusi, manakala PN pula 17 kerusi dan PH mendapat lapan kerusi.

Keputusan itu menyaksikan kerajaan Pahang tidak dapat dibentuk kerana tidak ada mana-mana gabungan parti memperoleh majoriti mudah.

Sebelum ini, PH Pahang mendakwa sikap tamak BN Pahang mengakibatkan rundingan kedua pihak gagal.

Semalam, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, BN bukan sahaja tidak mahu melepaskan jawatan menteri besar, bahkan turut bertegas untuk mengambil tujuh jawatan EXCO.

Wan Rosdy bagaimanapun menjelaskan, perkara paling penting dalam rundingan sama ada dengan PH atau PN adalah bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri Pahang.

“BN Pahang berpendirian bahawa kerjasama antara blok adalah satu pendekatan baharu yang mesti menjadi pilihan sekali gus membuktikan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana blok sama ada PH atau PN demi kebaikan rakyat.

“Sebab kedua pula ialah sebarang pilihan (kerjasama) mestilah mengambil kira keupayaan gabungan untuk membawa kestabilan kepada negeri Pahang.

“Dan akhir sekali, pembentukan kerajaan negeri Pahang yang baharu perlu selari dengan ‘Kerajaan Perpaduan’ yang dibentuk di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan barisan EXCO kerajaan Pahang akan dilantik merangkumi ahli dewan undangan negeri (ADUN) daripada BN dan PH.

“(Buat masa ini) masih dalam perbincangan, belum muktamad lagi, kita cuba (selesaikan lantikan Exco) dalam masa terdekat, (kerajaan) Persekutuan pun tak umum lagi (barisan) Kabinet,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada kerjasama BN dan PH membentuk kerajaan Pahang bakal memberi kesan kepada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Wan Rosdy berpandangan keputusan untuk bekerjasama itu akan memberi kelebihan kepada BN.

“Sekarang kita dah bekerjasama, kita dah dalam satu blok kita akan bincanglah dan kalau mereka (PH) boleh bagi laluan, lagi bagus,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan PN Pahang akan menggunakan isu ‘Undi BN dapat DAP’ di Tioman, beliau percaya perkara itu tidak akan memberi kesan kepada peluang BN untuk mempertahankan kerusi DUN itu.

“Dalam kerajaan yang ada hari ini, ada Pakatan Harapan, sebelum ini Pakatan Harapan bertanding, Barisan Nasional bertanding, kalau kita dah ada kesepakatan, mungkin lebih mudah kepada Barisan Nasional,” katanya. – Malaysiapost

Komen