MCA sokong Kerajaan Perpaduan Anwar

MCA sokong Kerajaan Perpaduan Anwar

MCA menyatakan pendiriannya untuk menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Setiausaha Agungnya, Chong Sin Woon berkata, pendirian MCA itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. 

Justeru, Sin Woon menyeru semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan bagi menjamin kestabilan menerusi perdamaian politik dan bergerak ke hadapan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi demi kepentingan rakyat serta negara ini.

“Dalam masa sama, MCA akan terus memainkan peranan bagi memastikan kerajaan perpaduan ini memelihara kepelbagaian, kesederhanaan dan membela nasib rakyat majmuk di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Sin Woon berkata, fokus MCA ketika ini adalah melihat secara mendalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan merangka strategi untuk membina semula parti dengan memberi tumpuan kepada dua kerusi Parlimen dan tujuh DUN yang dimenangi serta memperbaiki kelemahan yang ada untuk memenangi semula sokongan pengundi.

Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar  dianggotai Pakatan Harapan yang mempunyai 82 kerusi dan diikuti Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), dan Gabungan Rakyat Sabah (enam) serta parti-parti lain dengan keseluruhan kekuatan kini hampir mencecah dua pertiga ahli Parlimen. -Malaysiapost

Komen