‘Mereka yang dipalit kes mahkamah masih berpeluang sertai Kabinet Anwar’

‘Mereka yang dipalit kes mahkamah masih berpeluang sertai Kabinet Anwar’

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran pemimpin politik yang sedang berdepan kes mahkamah daripada parti yang membentuk kerajaannya masih mempunyai peluang dilantik menyertai barisan Kabinet. 

Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, mana-mana individu hanya didapati bersalah apabila selesai dijatuhi hukuman, lapor Buletin TV3, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya berhubung desakan pelbagai pihak yang tidak mahu mana-mana pemimpin politik mempunyai kes mahkamah termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilantik dalam Kabinetnya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum memutuskan mengenainya.

“Pandangan semua, kita ambil kira. Ia dalam perbincangan tetapi seperti mana yang kita tahu dari segi undang-undang hanya setelah ada hukuman (didapati bersalah).

“Yang lain itu kita akan beri pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik tidak mahu mana-mana pemimpin yang mempunyai kes mahkamah dilantik dalam Kabinet.

Ia termasuk gesaan oleh Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mahu jemaah Menteri dilantik kelak bebas kes mahkamah. -Malaysiapost

Komen