Nad Zainal makin stabil, mula buka mata

Nad Zainal makin stabil, mula buka mata

KEADAAN kesihatan pelakon Nad Zainal dilaporkan semakin baik apabila dia mula buka mata dan kurang bergantung kepada mesin oksigen.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan pengarah, Shahrulezad Mohameddin yang turut memberitahu luka pada bahagian paru-paru pelakon itu juga semakin baik.

Malah, katanya, sebahagian dos ubat juga mula dikurangkan dan diberhentikan selepas doktor melihat keadaan Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin semakin stabil.

“Cuma, doktor tidak mahu memaksa sangat. Sekali-sekala, Nad ada membuka matanya dan tidur semula.

“Syukur tidak terhingga. Terima kasih Allah SWT yang telah mengabulkan doa kita semua.

“Saya harap kita akan terus berdoa. Saya mewakili keluarga dan sahabat Nad dengan rendah diri ingin mengucapkan terima kasih di atas doa tulus kalian,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.

Minggu lalu, ibu dua cahaya mata itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Ampang selepas mengadu tidak sihat dan mengalami sakit dada serta kesukaran bernafas.

Keadaan pelakon itu dilaporkan kritikal selepas doktor mengenal pasti berlaku jangkitan kuman pada paru-parunya, selain pendarahan pada organ tersebut.

Shahrulezad turut memaklumkan, majlis doa selamat dan solat hajat bagi mendoakan kesembuhan Nad akan diadakan di Masjid al-Mustaqim, Jalan Ampang Putra, Ampang, pada pukul 6.45 petang ini. – Malaysiapost

Komen