Pemergian Nawawi kehilangan besar buat Umno – Zahid

Pemergian Nawawi kehilangan besar buat Umno – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Ketua Umno Bahagian Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad awal pagi tadi, sebagai kehilangan besar kepada parti.

Ahmad Zahid berkata, Allahyarham yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi banyak mencurahkan jasa dan bakti kepada parti selama ini.

“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Nawawi Ahmad (Ketua Umno Bahagian Langkawi juga bekas Ahli Parlimen Langkawi) atas pemergian arwah awal pagi tadi di Jerman.

“Semoga Allahyarham akan ditempatkan bersama para syuhada dan solehin. Mari kita hadiahkan bacaan Al Fatihah kepada beliau,” katanya.

Nawawi 61, meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi di Frankfurt, Jerman.

Berita sedih itu disahkan Timbalan Ketua Umno Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan, pagi ini.

Difahamkan, Nawawi berada di Frankfurt bagi urusan kerja atas kapasiti beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pemergian beliau ke sana turut ditemani isterinya, Datin Sabariah Hassan dan jenazah kemungkinan dikebumikan di Frankfurt. – Malaysiapost

Komen