Pemimpin PH diingatkan henti keluar kenyataan boleh jejas Kerajaan Perpaduan

Pemimpin PH diingatkan henti keluar kenyataan boleh jejas Kerajaan Perpaduan

TIMBALAN Ketua Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mengeluarkan kenyataan yag boleh menjejaskan hubungan Barisan Nasional (BN) dengan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, sudah tamat masanya untuk mengeluarkan kenyataan berapi-api dan retorik memandangkan rakyat sudah bersuara melalui pilihan raya.

“Biar saya ingatkan beberapa individu daripada PH supaya tidak rabun dan merisikokan kerajaan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya lapor FMT.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang meminta Perdana Menteri tidak melantik Jemaah Menteri yang berdepan kes mahkamah.

Nur Jazlan menegaskan bahawa sistem keadilan Malaysia mengikut tanggapan ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’.

Menurutnya, mereka yang dibicarakan harus diadili di mahkamah undang-undang, bukannya oleh pendapat umum.

Jelasnya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan baik hati menyatukan Ahli Parlimen gabungan itu, walaupun ada pihak yang tidak senang untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Ahmad Zahid tidak menyalahkan Anwar mahupun PH atas tuduhan liar dan tohmahan terhadap BN semasa tempoh kempen pilihan raya, dan bertindak dengan suci hati.

“Oleh itu, PH patut menunjukkan niat ikhlas mereka untuk menjadikan kerajaan baharu ini stabil dan bebas daripada politik dan kritikan tidak perlu yang boleh menjejaskan hubungan jangka panjang BN dan PH,” katanya.

Nur Jazlan turut menggesa semua pihak meletakkan kepercayaan pada Anwar dan fokus kepada keperluan rakyat. – Malaysiapost

Komen