Pertemuan sulung Anwar, Sultan Brunei hari ini

Pertemuan sulung Anwar, Sultan Brunei hari ini

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima kunjungan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Putrajaya hari ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, ia pertemuan sulung antara Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, Khamis lalu.

Menurut kenyataan itu, kali terakhir Baginda mengunjungi negara ini adalah pada Mac 2019 ketika menghadiri Perundingan Tahunan Pemimpin (ACL) ke-22 antara Malaysia dan Brunei.

“Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan istimewa yang berasaskan warisan, budaya dan hubungan erat sesama insan.

“Bertitik tolak daripada hubungan istimewa ini, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa lawatan tersebut untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada di samping meneroka potensi-potensi baru bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan Anwar akan meraikan Sultan Hassanal Bolkiah dan anak Baginda, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen serta rombongan dalam satu Majlis Santapan Tengahari.

Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan pada 2021, Brunei adalah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM 8.03 bilion. – Malaysiapost

Komen