PM guna kenderaan sedia ada, tolak Mercedes S600

PM guna kenderaan sedia ada, tolak Mercedes S600

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak untuk menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau memasuki pejabat.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil kerana beliau tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.

“Saya ingin memaklumkan bahawa semalam saya telah menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum saya memasuki pejabat.

“Langkah tersebut diambil kerana saya tidak mahukan sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atas saya.

“Sebaliknya, saya telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian,” katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri memaklumkan beliau menerima panggilan telefon daripada pimpinan Hamas, Khaled Mesh’al, tengah malam tadi.

Perdana Menteri berkata, beliau turut menegaskan bahawa Malaysia komited untuk memperjuangkan isu kesejahteraan rakyat Palestin di persada antarabangsa.

Selain itu, Anwar turut memaklumkan beliau menerima ucapan tahniah pelantikan sebagai Perdana Menteri Ke-10 daripada bekas Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin, Ismail Haniyeh menerusi panggilan video.

“Selain menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan Perdana Menteri ke-10, beliau turut memuji kesungguhan seluruh rakyat Malaysia yang memastikan proses peralihan kepimpinan negara berjalan dalam keadaan aman dan demokratik,” katanya. – Malaysiapost

Komen