PN cuba buat U-turn, jilat ludah sendiri, tapi sudah terlewat

PN cuba buat U-turn, jilat ludah sendiri, tapi sudah terlewat

Datuk Mohd Razlan Rafii

TARIKH keramat bagi rakyat Malaysia menentukan masa depan Negara. Setiap parti bertanding mengeluarkan semua ilmu politik untuk kemenangan mereka. Waktu kecemasan merebut tampuk pemerintahan negara melalui sistem demokrasi.

Saya ditugaskan untuk tidak kemana-mana, hanya berceramah di sekitar Klang Valley dan kembali ke PWTC untuk melihat perjalanan Kempen.

Gusar melihat pergerakan Kempen Parti dan juga lawan, tiada yang boleh dilihat saban hari dengan ketenangan, ada sahaja cabaran untuk dijawab dan diulas. Detik demi detik menghitung waktu sebelum tutup hari berkempen dan pembuangan undi.

Awal pagi 20 November, semua sudah mendapat jawapan bahawa tiada parti yang boleh menubuhkan kerajaan dengan mejoriti mudah, setiap komponen parti perlu punyai rakan kongsi Kerajaan, saya sudah menjangka akan ada silap mata akan dipersembahkan untuk menubuhkam kerajaan.

Speaker dewan antara awal yang mengeluarkan kenyataan, disini bermula kacau bilau politik yang membolehkan Ahli Parlimen di jual beli, Speaker umumkan bahawa perlunya akuan bersumpah (SD) untuk menubuhkan kerajaan dan bukti sokongan.

Episod ini sebenarnya berjalan seiring dengan penawaran kepada 10 Ahli Parlimen BN untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Bagaikan merancang dari belakang pintu untuk mengelirukan Istana bagi membuat keputusan.

Bagi pihak BN, ada kedengaran perjumpaan di Ampang namun tidak ada yang tahu apa intipati perjumpaan itu, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sudah cukup jumlah menubuhkan kerajaan, syak wasangka sudah timbul, bagaimana kiraan Muhyiddin sedangkan tidak ada wakil yang berjumpa BN untuk berbincang.

Rupa-rupanya, Muhyddin, (Datuk Seri) Hamzah (Zainuddin) dan (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) serta rakan-rakan PAS, mengulangi perangai lama, mengulangi kesalahan lalu dengan mencuri sekali lagi, mereka tidak peduli akan akta lompat parti, mereka tidak peduli akan tergugurnya Ahli Parlimen itu lalu akan berlaku PRK lagi, yang mereka peduli adalah Menjadi Perdana Menteri dengan mencuri.

Sikap ini adalah sikap yang tidak bertanggungjawab, lalu saya mengutuskan surat kepada Istana, dengan niat untuk merayu kepada istana agar mengambil tindakan yang mengikut tatacara sebaiknya.

BN tidak ada waktu lagi, sekira ini terjadi, BN akan dikuburkan oleh Muhyiddin sekali lagi dengan kuasa, akan ada yang dimasukkan ke dalam Penjara akibat tuduhan yang macam-macam sekira tidak dengar kata, itu perangai Muhyiddin dan rakan-rakan mereka.

Waktu singkat ini telah menyebelahi BN apabila Istana memangil Muhyiddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadap ke Istana, Speaker sudah yakin dapat memuktamadkan calon Perdana Menteri, namun tidakan Bijaksana DYMM Agong telah meleraikan semua kebuntuan SD.

Apabila ditanya Muhyiddin ada majoriti, beliau menjawab “ya” namun Tuanku sudah menolak dan mengatakan tidak, lalu tuanku memberikan peluang untuk PN bergambung dengan PH dengan pengiliran Perdana Menteri, Muhyiddin dengan bongkak menolak dan menjawab Tidak.

Anwar pula masuk mengadap, adakah kamu punyai majoriti, Anwar menjawab “ya” namun itupun di tolak kerana ada kenyataan-kenyataan di luar yang bercanggah dengan sokongan yang Anwar Perolehi. Lalu ditanya lagi, adakah kamu bersetuju menubuhkan kerajaan perpaduan, Anwar menjawab “Ya” dan tandatangan.

Pada petang itu, istana mengeluarkan satu kenyataan meminta 30 Ahli Parlimen BN mengadap untuk menyatakan sokongan, ini sekali lagi permainan tidak adil dan sebelah pihak apabila hanya MP BN dipanggil sorang-sorang bahkan parti GPS dan lain-lain hanya dibuat dengan Ketua mereka sahaja, walhal ada juga komponen GPS yang tidak bersetuju dengan PN dan membuat kenyataan media.

Sekali lagi cubaan untuk memecahkan Ahli Parlimen BN, bermula sekali lagi sang pencuri mengorak langkah di St Regis untuk membuat tawaran dan imbuhan, saya sekali lagi buat kenyataan kerana dari awal dan meletakkan syak wasangka dengan Speaker yang tidak habis-habis mahu mengenakan BN.

Alhamdulillah, kebijaksanaan DYMM Tuanku telah mengubah dari memanggil menghadap 30 MP kepada ketua parti sahaja, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid membawa Timbalan bersama manakala GPS membawa lima Ketua Parti mereka.

Ditanya kepada Presiden Parti, Istana bercadang untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan, apa pendapat Zahid, “Ampun Tuanku, Patik bersetuju” jawapannya “ya” dan ditandatangan dibawah disaksikan Timbalan Presiden.

Dalam pengiraan Istana, sudah cukup jumlah untuk menubuhkan kerajaan apabila ada dua kumpulan yang bersetuju dengan Titah Tuanku untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan, 82 dengan 30, jumlah 112, GPS pula menyerahkan kebijaksanaan Tuanku, dalam waktu itu juga, PN memasang telinga di Istana.

Keesokan harinya, Majlis Raja-raja bersidang untuk memuktamadkan keputusan memilih Perdana Menteri, PN bermesyuarat untuk mendengar berita dari Istana melalui mata-mata, sebaik jam 12 tengahari.

PN membuat pusingan U dengan bersetuju untuk Kerajaan Perpaduan lalu ianya sudah terlewat, Istana sudah mengambil keputusan. Begitu terdesak dengan Kuasa PN dengan perangai tidak bermaruah menjilat ludahnya semula.

Ada banyak lagi peristiwa sewaktu kejadian-kejadian ini, kumpulan pendesak, kumpulan St Regis, kumpulan pencuri, kumpulan mesyuarat sebelum mesyuarat, saya akan ceritakan sekira berjumpa dengan sesiapa sahaja yang mahu mengetahuinya, ianya bukan lagi rahsia yang perlu disimpan.

Penulis adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno

(Artikel ini disiar tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

Komen