Poster Zahid jadi TPM palsu

Poster Zahid jadi TPM palsu

POSTER ucapan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri yang tular di media sosial, disahkan palsu.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini turut meminta orang ramai tidak menyebarkan poster berkenaan.

“Merujuk poster yang tular di media sosial bertajuk ‘Tahniah YB Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi di atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri’ adalah palsu.

“Orang ramai diminta agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu,” katanya.

Setakat ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mengumumkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri selepas pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar memaklumkan pengumuman senarai Kabinet akan mengambil masa beberapa hari lagi, dengan perbincangan untuk melantik menteri turut sedang dilaksanakan bersama parti gabungan Pakatan Harapan (PH)

Setakat ini, kerajaan perpaduan disertai PH yang mempunyai 82 kerusi dan diikuti Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), dan Gabungan Rakyat Sabah (enam) dengan keseluruhan kekuatan kini hampir mencecah dua pertiga ahli Parlimen. – Malaysiapost

Komen