Sindir Agong, tindakan Abdul Hadi tidak bertanggungjawab

Sindir Agong, tindakan Abdul Hadi tidak bertanggungjawab

VETERAN Umno menyifatkan sindiran Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap Yang di-Pertuan Agong adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agung Kelab Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, meskipun Presiden PAS itu tidak menyebut nama Agong, namun orang ramai dapat meneka sindiran Abdul Hadi itu ditujukan.

“Sindiran itu amat tidak bertanggungjawab ditujukan kepada Agong yang telah menggunakan kebijaksanaanya untuk menyelesaikan kemelut politik pasca PRU15.

“Usaha Agong dengan restu Raja-Raja dan sultan diperlekeh oleh Abdul Hadi yang amat kecewa dengan kegagalan PN (Perikatan Nasional) untuk menubuhkan kerajaan,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Mustapha turut membidas kegopohan Abdul Hadi yang mendahului Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila mengisytiharkan PN telah menang sekali gus boleh menubuhkan kerajaan pada malam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Pada malam keputusan PRU15, Hadi dengan yakin dan bangganya membuat sidang media mengisytihar PN akan menubuh kerajaan walaupun dia tahu PN belum pasti mendapat majoriti mudah walaupun dengan sokongan GPS.

“Tapi kerana keangkuhannya maka dia mendahului SPR membuat pengumuman,” katanya.

Mustapha berkata, tindakan Abdul Hadi dan Tan Sri Muhyiddin Yassib ‘mencuri’ 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak kesampaian apabila surat aku janji Ahli Parlimen BN berjaya mematahkan strategi pintu belakang PN kali ini.

Katanya, perkara itu diketahui Agong dan menyebabkan Seri Paduka memberi ‘extra time’ untuk semua pihak membuktikan keabsahan memiliki sokongan 112 majoriti mudah.

“Abdul Hadi lupa 10 Ahli Parlimen BN yang berjaya dibeli oleh PN terikat dengan aku janji yang telah mereka tanda tangani sebelum PRU15.

“Sebab itu 10 mereka itu menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin dan Agong mengetahui cerita itu.

“Sebab itu Agong memberi masa yang cukup kepada semua pihak untuk membuktikan keabsahan dakwaan PN yang mendakwa mereka sudah cukup bilangan untuk menubuh kerajaan.

“Agong tahu 10 Ahli Parlimen BN itu telah dibeli sedang mereka terikat dengan SD. Sebab itu dalam perjumpaan dengan Muhyiddin dan Hadi, Agong telah mencadangkan supaya PN bersetuju untuk menubuh kerajaan perpaduan. Tapi dengan angkuh mereka menolak,” katanya.

Justeru, Mustapha berkata, pihaknya menasihatkan Abdul Hadi dan PAS agar cepat ‘move on’ dan membuktikan kemampuan menjadi pembangkang yang berwibawa.

“Veteran (Umno) ingin menasihati Hadi dan PAS supaya ‘move on’. Realitinya PAS yang menang 49 kerusi sekarang menjadi pembangkang.

“BN yang hanya menang 30 kerusi berada dalam kerajaan. Jadilah pembangkang yang berwibawa sebagaimana kata Muhyiddin dan Takiyuddin. Veteran memahami kekecewaan Abdul Hadi yang gagal menjadi orang penting dalam kerajaan PN.

“Tapi janganlah kekecewaan itu terbawa-bawa didalam mimpi ngeri dikejar pontianak. Apa lagi dengan mengaitkan Agong sebagai pengadil bola sepak yang tidak adil,” katanya. – Malaysiapost

Komen