Banjir kilat melanda Lembah Klang

Banjir kilat melanda Lembah Klang

BANJIR kilat melanda beberapa kawasan di Lembah Klang susulan hujan lebat selama beberapa jam, hari ini.

Berdasarkan perkongsian netizen di media sosial, kawasan terjejas membabitkan Putrajaya, Kota Warisan dan Dengkil di Sepang.

Warganet turut memuat naik gambar dan video banjir mencecah paras lutut di beberapa kawasan di media sosial.

Sementara itu, memetik Sinar Harian,18 rumah di Meru, Klang dinaiki air akibat longkang tersumbat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke Taman Meru Jaya, Jalan Kassim di Meru kira-kira 1.45 tengah hari tadi. Paras air semakin surut dan tiada pemindahan dilakukan.

Manakala, di Facebook rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaparkan petugas-petugas DBKL segera membersihkan longkang tersumbat yang menyebabkan banjir di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur.

Jabatan Meteorologi pada 2.45 petang tadi berkata, hujan lebat diramalkan di Lembah Klang, dengan cuaca buruk berlarutan sehingga 6 petang ini. – Malaysiapost

Komen