Belum ada perbincangan menyeluruh lantikan Kabinet – Loke

Belum ada perbincangan menyeluruh lantikan Kabinet – Loke

SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan belum ada perbicangan secara menyeluruh mengenai lantikan Kabinet di peringkat Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta setiap ketua parti untuk berbincang perkara tersebut malah bersedia untuk mendengar pandangan masing-masing.

“Belum ada perbincangan secara terperinci di peringkat PH sebab Perdana Menteri perlu berbincang dengan parti gabungan yang lain khususnya Barisan Nasional (BN) dan GPS (Gabungan Parti Sarawak)…itu tidak melibatkan saya,” katanya memetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada selepas Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima DUN ke-14 di Seremban, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan pihaknya akan mengambil kira musim haji bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan.

Menurutnya, ia akan dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH kerana PRN akan melibatkan enam negeri termasuk tiga di bawah PH.

“Kalau boleh kita elakkan daripada melibatkan mereka menunaikan haji dan saya mengambil cadangan tersebut (musim Haji) sebagai perhatian. Ada dua kemungkinan sama ada sebelum haji atau selepas jemaah balik daripada menunaikan haji,” katanya.

Aminuddin berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai PRN di enam negeri perlu diadakan awal untuk mengelakkan daripada bertembung dengan perayaan dan pelaksanaan musim haji jika dilakukan selepas Mac tahun depan.

Berdasarkan laporan itu tarikh perayaan Aidilfitri tahun depan dijangka pada 22 April bergantung pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja manakala Aidiladha diunjurkan pada 29 Jun dan penerbangan pertama jemaah haji pada 21 Mei tahun depan. – Malaysiapost

Komen