Cacar monyet kini dikenali dengan nama mpox

Cacar monyet kini dikenali dengan nama mpox

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) dan pakar kesihatan awam global akan mula menggunakan nama mpox sinonim untuk ‘monkeypox’ atau cacar monyet.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata WHO mengumumkan perkara itu selepas berbincang dengan pelbagai pihak.

“Kedua-dua nama akan saling digunakan untuk tempoh setahun sebelum kekal dengan mpox,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

WHO pada September lalu menyenaraikan 50,496 jangkitan dan 16 kematian membabitkan cacar monyet tahun ini dan mengisytiharkan wabak berkenaan sebagai kecemasan kesihatan awam global pada Julai lalu.

Penularan cacar monyet dilaporkan melonjak sejak awal Mei lalu dalam kalangan lelaki yang mengadakan hubungan seks sejenis, di luar negara Afrika yang telah sekian lama endemik penyakit itu.

WHO mengeluarkan amaran tahap tertinggi pada 24 Julai lalu dengan mengklasifikasikan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa, sebagaimana Covid-19.

Negara yang melaporkan jumlah lebih 1,000 kes cacar monyet kepada WHO sebelum ini adalah Amerika Syarikat (17,994), Sepanyol (6,543), Brazil (4,693), Perancis (3,547), Jerman (3,467), Britain (3,413), Peru (1,463), Kanada (1,228) dan Belanda (1,160).

Di Malaysia setakat ini tiada jangkitan cacar monyet dilaporkan. – Malaysiapost

Komen