Chegu Bard disiasat isu dakwaan khazanah Mersing dijarah

Chegu Bard disiasat isu dakwaan khazanah Mersing dijarah

BADRUL Hisham Shahrin atau lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard, mendakwa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang baru sahaja membentuk kerajaan gabungan, sudah mula menggunakan kuasa sewenangnya.

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) Johor itu, berkata keadaan itu berlaku apabila dia kini disiasat berhubung isu dibangkitkannya ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mengenai khazanah di Mersing yang dijarah.

Menurutnya, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing memaklumkan kertas siasatan telah dibuka terhadapnya dan dikehendaki hadir untuk disoal siasat.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan ke atas saya berkaitan isu yang saya bangkitkan – perlombongan emas, perlombongan pasit dan beberapa perkara mengenai bagaimana khazanah Mersing dipunggah keluar dan beri kesan negatif kepada rakyat Mersing.

“Sebagai warga bertanggungjawab, maka pada 30 November 2022, jam 2.30 petang saya akan berada di IPD Mersing untuk disoal siasat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Badrul Hisham mendakwa, pihak berkepentingan dalam menjarah khazanah Mersing sangat kurang senang dengan isu dibangkitkannya itu.

“Malah ada usaha yang potong ucapan saya dan sebar ke ribuan rakyat Mersing konon saya derhaka. Saya juga diserang teruk oleh Umno seolah saya bertanding.

“Namun semua mereka lupa memang rakyat Mersing sendiri resah dan terkesan dengan kegiatan memunggah khazanah Mersing,” katanya.

Menurutnya, ceramahnya ketika itu hanya didengar ratusan orang namun disebarkan dan laporan dibuat menyebabkan ceramah itu didengari dan ditonton ribuan pengundi yang akhirnya mengundi PN menolak BN dan PH yang bersekongkol.

“Pihak PN telah membuat juga laporan polis mengenai sogokan pilihan raya oleh pihak calon BN, siap bukti diserahkan namun seolah langsung tidak ada tindakan.

“Baru berkuasa BN dan PH nampaknya mula menggunakan kuasa sewenangnya. Kepada orang politik berhentilah menjadi alat atasan kapitalis yang memunggah khazanah menekan masyarakat,” katanya.

Badrul Hisham berkata, dia tidak pasti akan disiasat mengikut akta apa, namun sudah bersedia menghadapi sebarang tekanan termasuk Akta Hasutan yang mana memungkinkan dia ditahan tanpa waran.

“Untuk semua pejuang PN… sebagai manusia kita berhak kecewa tetapi jangan sampai terbaring umpama singa tewas menjilat luka.

“Bangkitlah umpama wira panglima kerana majoriti anak bangsa memilih kita untuk pertahan agama dan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen