Henti pertikaian lantikan PM, fokus khidmat untuk rakyat – Annuar

Henti pertikaian lantikan PM, fokus khidmat untuk rakyat – Annuar

KETUA Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meminta semua pihak menghentikan pertikaian terhadap lantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan terus memberi tumpan kepada pembentukan negara yang stabil.

Beliau berkata, apa yang utama bukan sahaja perpaduan malah sikap rasional untuk memulihkan negara.

“Tidak wajar kita terus pertikai pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM10.

“Ini kerana proses pelantikan telah selesai dan kuasa melantik seorang anggota dewan rakyat sebagai PM adalah kuasa mutlak Baginda,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Annuar berkata, tumpuan kini kepada kerajaan yang mampu menunaikan tugas dan berkhidmat untuk rakyat dan negara.

“Hentikan pertikaian, perkasakan muafakat dan kerjasama,” katanya.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata proses pemulihan yang dapat membangkitkan semula keutuhan negara perlu dicapai bagi mendepani cabaran ekonomi, sosial dan politik global yang mencabar.

“Marilah kita sama sama mendoakan agar semua 221 orang ahli parlimen yang telah terpilih itu akan menunaikan tanggongjawab mereka sebaik mungkin.

“Semoga Parlimen Malaysia menjadi tempat suburnya amalan demokrasi berparlimen negara kita dengan nilai dan etika anggotanya yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Komen