Ikuti perjuangan reformasi sejak 24 tahun lalu, warga emas sebak dapat jumpa Anwar

Ikuti perjuangan reformasi sejak 24 tahun lalu, warga emas sebak dapat jumpa Anwar

HASRAT seorang warga emas bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim tercapai apabila Perdana Menteri ke-10 itu melayan mesra kedatangannya, yang dipaparkan dalam sebuah video tular, semalam.

Menerusi video dimuat naik di aplikasi TikTok milik Aishah Ella, dia memberitahu bapanya adalah penyokong setia Anwar sejak 24 tahun lalu.

Kata Aishah, ayahnya sanggup menahan sakit di bahagian kaki dalam perjalanan dari Muar, Johor ke Cheras semata-mata ingin bertemu Anwar.

“Datuk Seri nak tahu. Kalau sebelum ini ayah memang tidak mahu menaiki kereta dalam waktu yang lama. Cepat sahaja mahu balik.

“Tapi dalam perjalanan ke sini, ayah diam sahaja. Dia tahan sahaja sakit semata-mata untuk berjumpa Datuk Seri,” katanya dalam video itu.

Dalam video itu bapa Aishah yang berkerusi roda kelihatan sebak ketika bersalaman dengan Anwar, di pekarangan kediaman Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut.

Rata-rata warga maya di ruangan komen berkata bapa mereka juga mempunyai perasaan sama, iaitu merasakan kemenangan setelah Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, Khamis lalu.

“Abah saya pun sedih lihat Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) jadi PM. Sebab dulu abah kerja di Jabatan Audit Negara, masa itu Menteri Kewangan DSAI. Abah memang sokong DSAI dulu hingga kini,” kata Ty Ati.

“Sama dengan abah saya. dia pernah bekerja dengan DSAI.. sampai sekrang dia setia sokong DSAI. Siapa yang kenal akan tahu peribadinya bagaimana,” ujar Aisyah Othman.

“Sebab itu otai reformasi 1998 memang menangis bila dapat tahu DSAI angkat sumpah. Ia menjadi momen peribadi buat mereka,” kata Khairul Anuar.

Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk melantik Anwar yang juga Presiden PKR sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Ia selaras kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

Komen