Ismail Sabri nafi ada perbelanjaan negara tidak direkod

Ismail Sabri nafi ada perbelanjaan negara tidak direkod

AHLI Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan wujud perbelanjaan tidak direkod dalam kerajaan ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Ia susulan tular di media sosial dakwaan bahawa sejumlah RM620 bilion wang kerajaan tidak direkod dalam Akaun Perbendaharaan untuk tahun 2020 hingga 2022 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Jelas beliau, semua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.

“Berhubung komen bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun Kerajaan dari tahun 2020 – 2022, saya ingin menegaskan dakwaan ini tidak benar dan kesemua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.

“Nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion di mana sebahagian besar tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan (seperti moratorium pinjaman oleh bank).

“Perbelanjaan langsung Kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan tersebut telahpun diluluskan Parlimen sebulat suara,” katanya dalam hantaran Instagram.

Ismail Sabri adalah Perdana Menteri Kesembilan dan mula memimpin kerajaan pada 23 Ogos tahun lalu sehingga pembubaran Parlimen 10 Oktober lalu. – Malaysiapost

Komen