Kanak-kanak maut dihempap tiang elektrik

Kanak-kanak maut dihempap tiang elektrik

SEORANG kanak-kanak lelaki maut manakala dua rakannya tidak sedarkan diri selepas dihempap tiang elektrik ketika bermain di Jalan K16, Kampung Belukar, Changlun hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Sayani Saidon, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.33 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai tiga mangsa berusia 10 dan 11 tahun dipercayai dihempap tiang elektrik.

“Ketika tiba di lokasi, didapati hanya dua mangsa masih berada di lokasi iaitu seorang yang dipercayai sudah meninggal dunia manakala seorang lagi tidak sedarkan diri yang berjaya dibawa keluar oleh orang awam,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kanak-kanak lelaki terbabit meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia berusia 10 tahun dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

“Dua lagi rakannya berusia 10 dan 11 tahun masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian paha dan pinggang. Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil siasatan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian,” katanya. – Malaysiapost

Komen