Kerajaan Pahang gabungan parti minoriti – Hadi

Kerajaan Pahang gabungan parti minoriti – Hadi

TAN Sri Abdul Hadi tidak menolak Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang perlu dirombak jika Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi DUN Tioman, 7 Disember ini.

Presiden PAS itu berkata, ia kerana jika mengikut sistem demokrasi berparlimen, kerajaan perlu diterajui oleh parti yang menang kerusi paling banyak pada PRU15.

“Ikut kepada keadaan (rombak DUN), jika ikut demokrasi memang kena rombak. Kalau ikut majoriti, kerajaan majoriti akan mengepalai kerajaan.

“Kerajaan minoriti pun dipilih, jika tak cukup kerusi, sepatutnya pilih parti yang terbesar (menang kerusi).. ini pilih parti yang kecil. Ini tidak betul konsep demokrasi,” katanya.

Dalam PRU15, Barisan Nasional (BN) menang 16 kerusi, manakala PN pula 17 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) mendapat lapan kerusi.

BN dan PH bergabung bagi membentuk kerajaan Pahang sekali gus Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilantik sebagai Menteri Besar.

Pengundian bagi DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Disember berikutan calon PN, Md Yunus Ramli meninggal dunia di Hospital Rompin, beberapa jam sebelum proses pengundian, 19 November lalu.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, gabungan BN dan PH tidak akan mempengaruhi pengundi pada PRU di Tioman kerana mereka boleh menilai parti majoriti.

“Kita tunggu dan lihat. Kita anggap kerajaan hari ini minoriti. Kita harap rakyat menghormati majoriti. Dan untuk tambah majoriti dengan kemenangan di Tioman,” katanya.- Malaysiapost

Komen