Lantik Zahid TPM untuk stabilkan Umno, kerajaan Anwar

Lantik Zahid TPM untuk stabilkan Umno, kerajaan Anwar

Najamuddin Mohd Nor

DEMI kestabilan Umno, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti melantik jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) berdasarkan hierarki tertinggi dalam parti tu.

Perkara itu dinyatakan Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad yang menegaskan kestabilan Umno adalah kunci utama kestabilan Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar.

Sehubungan itu katanya, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu hanya dapat diperkukuhkan sekiranya Presiden Umno dilantik sebagai TPM.

“Saya bercakap dari segi untuk kestabilan Umno, pastinya Datuk Seri Anwar mesti melantik TPM mengikut hierarki Umno.

“Kita tidak mahu lagi Umno berpecah, kita mahu Umno kembali stabil dan Presiden Umno mesti dilantik TPM. Kalau Presiden tiada jawatan, maka ahli tidak menghormati beliau. Itu yang terjadi sebelum ini.

“Ini kerana ia amat berhubung kait dengan kadar kelangsungan Kerajaan Perpaduan Anwar sekarang, stabil Umno maka stabillah kerajaannya. Itu kuncinya. Maka Ahmad Zahid mesti menjadi TPM kerajaan ini,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Ditanya berhubung kes mahkamah yang masih dihadapi Ahmad Zahid, Dr Azhar yang juga Ketua Umno Bahagian Beruas menjelaskan, perkara itu tidak menjadi masalah kerana Ahmad Zahid belum disahkan bersalah oleh mahkamah.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri semalam, seseorang itu belum didapati bersalah sekiranya hakim belum mengesahkan dia bersalah.

“Jadi tiada masalah untuk Ahmad Zahid dilantik menjadi TPM. Jika keputusan mahkamah nanti tidak memihak kepadanya, Perdana Menteri boleh buat rombakan Kabinet.

“Yang penting, sebagai orang yang berpengalaman dalam politik, Anwar pasti tahu dan arif kenapa Ahmad Zahid perlu dilantik sebagai TPM, beliau pasti tahu,” katanya.

Pada masa sama Dr Azhar berkata, Anwar perlu melantik menteri-menteri Kabinet dari Umno mengikut hierarki parti.

“Ikutlah hierarki parti, semestinya Tok Mat Hasan (Datuk Seri Mohamad Hasan) dilantik menteri Kabinet paling kanan sebab beliau Timbalan Presiden Umno.

“Kemudian diikuti Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Noorani Ahmad, Datuk Seri Ahmad Maslan dan lain-lain lagi, mesti ikut hierarki Umno dalam melantik menteri Kabinet.

“Yang penting untuk kestabilan Umno, akar umbi tak mahu lagi Umno berpecah belah. Cukuplah berpolitik, masanya untuk wakil rakyat yang dipilih bekerja untuk rakyat. Kerajaan Perpaduan ini dapat bekerja dengan aman untuk rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen