Lantikan ‘kluster mahkamah’ dalam Kabinet bukan urusan PAS – Hadi

Lantikan ‘kluster mahkamah’ dalam Kabinet bukan urusan PAS – Hadi

PAS tidak mahu mencampuri urusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau mahu melantik ‘kluster mahkamah’ dalam Kabinet, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, pemilihan anggota Kabinet terserah kepada Anwar yang meneraju Kerajaan Perpaduan.

“Itu urusan mereka bukan urusan kami. Kami tak boleh jawablah,” katanya dalam sidang media, yang disiarkan di Facebook malam tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH) di ibu pejabat PKR semalam, berkata seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Beliau berkata demikian bagi menjawab gesaan supaya Ahli Parlimen yang berdepan tuduhan rasuah diketepikan dalam pembentukan Kabinet baharu.

Anwar juga berkata beliau juga akan mengambil pandangan semua pihak sebelum memutuskan sama ada akan melantik Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Kabinet.

Sebelum ini timbul spekulasi mengatakan Ahmad Zahid berkemungkinan besar akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid ketika ini masih berdepan menghadapi 47 pertuduhan berkaitan jenayah pecah amanah melibatkan Yayasan Akalbudi. – Malaysiapost

Komen