‘No PKR, No DAP’ hanya untuk berdepan PRU15, bukan pasca PRU – Zahid

‘No PKR, No DAP’ hanya untuk berdepan PRU15, bukan pasca PRU – Zahid

KERJASAMA strategik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan Persekutuan serta negeri di Perak dan Pahang, tidak mengabaikan prinsip Umno.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perlu difahami bahawa prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bukannya untuk pasca pilihan raya.

“Selepas PRU15 marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada Umno dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan  dalam.

“Kesinambungan politik ini tidak akan menghilangkan identiti  Umno yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa.

“Sesuai dengan perkembangan  ia perlu cakna dengan perubahan semasa, dinamik dan dilihat inklusif,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pagi ini.

Sebelum ini, keputusan Perhimpunan Agung Umno antara lain menolak kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP atau ‘No Anwar, No DAP’.

Umno turut memutuskan untuk menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam berdepan PRU15.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata Umno tetap  mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap moderate, sederhana, centrik dan progresif dalam menangani perubahan.

“Umno juga menolak parti politik menggunakan agama untuk berpolitik, sebaliknya Umno secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk  memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mrnambah, kerjasama BN dan PH adalah berdasarkan prinsip untuk membawa kestabilan kepada kerajaan dan memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Kini katanya, adalah masa untuk bekerja dan memastikan segala aspek urusan pembangunan untuk diberikan perhatian sebagai jalan bergerak ke hadapan.

“Kesan suasana ekonomi dunia  yang mencabar, perlu ditangani dengan lebih baik di peringkat tempatan agar tidak memberikan kesan berterusan kepada negeri dan negara.

“Kerjasama yang dibina oleh BN Perak dan Pahang juga memancarkan realiti masyarakat berbilang kaum dan meraikan kepelbagaian sesuai dengan demografi negeri yang merupakan asas kepada pembentukan kerjasama strategik.

“Kerjasama antara blok adalah pilihan dan pendekatan baharu ini akan menjadi perintis kepada perpaduan dan keharmonian kerajaan agar fokus pembangunan dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, keterbukaan itu mencerminkan bahawa BN-PH merintis jalan baharu untuk membawa politik centrik,  jalan kesederhanaan dan matang.

Kesemua ini jelasnya, selari dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan kini ia berbentuk kerajaan campuran selepas Perikatan Nasional menolak menyertainya.

“Namun semangat perpaduan tetap menjadi inti atau teras utama kerajaan ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen