PM10, mohon selamatkan perairan Sabah dari ancaman luar

PM10, mohon selamatkan perairan Sabah dari ancaman luar

TAHNIAH diucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, di atas kejayaan Pakatan Harapan mendominasi PRU15 serta pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Amanah yang cukup-cukup besar dan berat, seusai 24 tahun penantian dan setelah lebih 50 tahun bergiat di dalam arena politik.

Bagi seorang anak jati Sabah, saya amat gembira dan berbesar hati, serta tidak sabar untuk menantikan perubahan yang signifikan di dalam dasar-dasar Kerajaan, khususnya di dalam bidang pendidikan serta isu keselamatan negara.

Selaku seorang guru di sebuah sekolah di pedalaman Kota Marudu, Sabah saya merasa khuatir dan gusar apabila melihat anak-anak murid saya yang semakin hari semakin kurang; kurang dari jumlahnya yang hadir ke sekolah, serta kurangnya minat dan perhatian terhadap pendidikan yang disediakan di sekolah-sekolah kerajaan. Masih ramai yang tercicir, malah tidak kurang juga yang meninggalkan alam persekolahan untuk bekerja seawal umur 12, 13 tahun!

Amat sedih apabila melihat anak murid memilih untuk tidak bersekolah – ada yang menyatakan kurikulum kini kurang relevan dengan arus zaman, dan juga dihanyut oleh gelombang ekonomi gig seperti Grab dan FoodPanda.

Saya berpendapat sekiranya tidak dikaji dan ditangani oleh pihak Kerajaan, isu ini akan membarah dan terus merebak – menyumbang kepada pengangguran, kadar pendapatan yang rendah serta masalah sosial yang lain.

Harapan saya jua, bagi kepentingan rakyat Sabah adalah perhatian khusus PM10 dan pasukan kerajaan yang baharu bagi menangani isu pencerobohan Laut China Selatan yang semakin berleluasa di perairan Sabah dan Sarawak.

Isu ini bukanlah isu baharu, malah bukanlah isu yang remeh dan boleh diabaikan. Perairan negeri adalah hak milik Kerajaan Malaysia, serta ramai warga Sabah yang bergantung kepada kawasan-kawasan ini bagi sumber ekonomi, pendapatan serta budaya masyarakat kami.

Para nelayan kampung kini tidak dapat turun ke laut dalam keadaan aman, serta harus sentiasa berhati-hati dengan ancaman kapal perang asing atau lanun. Kegiatan pelancongan di pulau-pulau Mabul dan Sipadan juga turut terjejas ekoran faktor keselamatan yang tidak terjamin, memberi implikasi negatif kepada pekerja-pekerja tempatan.

Sekiranya berlaku apa-apa konflik atau ketegangan, seluruh rakyat Sabah akan turut terkesan dari segi ekonomi, keselamatan dan sosial. Cukup-cukuplah dengan krisis pencerobohan Lahad Datu pada 2013 yang telah meragut puluhan nyawa serta membahayakan ratusan lagi rakyat yang tidak bersalah.

Sudah bertahun pencerobohan ini berlarutan, namun kami selaku rakyat Sabah tidak nampak sebarang usaha serta komitmen dari pihak kerajaan terdahulu bagi menangani isu ini. Kepintaran dan kepakaran diplomasi dari Datuk Seri Anwar Ibrahim, PM10 kami pohon, agar negeri kami Sabah serta negara Malaysia terlindung dari sebarang ancaman luar dan negara asing.

Bunga raya di dalam dulang,
Daunnya enak dimakan ulat,
Rakyat dibela pemimpin dijulang,
Malaysia merdeka, kekal berdaulat.

S Saluien
Guru, SK Ranau
Kota Marudu, Sabah

Komen