Siapa Widanita Shahnaz?, soal Fahmi kepada pimpinan PN

Siapa Widanita Shahnaz?, soal Fahmi kepada pimpinan PN

PKR mempersoalkan tindakan Perikatan Nasional (PN) yang sanggup membuat hantaran berbayar di media sosial untuk membuat fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai langkah terdesak, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil menegaskan beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

“Punyalah terdesak nak tohmah dan fitnah Perdana Menteri, sanggup buat Sponsored Post. Siapa Widanita Shahnaz ni? Parti mana?

“Mana Perikatan Nasional dapat duit banyak untuk ‘boost’ benda macam ni?

“Sebaran fitnah seperti ini dan mereka terlibat atau bersekongkol untuk buat kerja-kerja ini wajar disiasat PDRM. InshaAllah laporan polis menyusul,” katanya.

Beliau turut berkongsi di Facebooknya tangkap layar satu hantaran di Facebook milik PN yang mana ia dibayar oleh individu bernama Widanita Shahnaz.

Dalam hantaran itu, tertera satu poster dengan tulisan ‘Israel gembira Anwar jadi PM10’.

Fahmi semalam dilaporkan berkata, Anwar sudah mengarahkan polis mengambil tindakan terhadap pihak yang mengaitkannya sebagai ejen Israel.

Menurut Fahmi, Pakatan Harapan (PH) juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan pemimpin gabungan itu sebagai ejen Israel. – Malaysiapost

Komen