Sistem dipanah petir, LRT Laluan Kelana Jaya tergendala lagi

Sistem dipanah petir, LRT Laluan Kelana Jaya tergendala lagi

PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya sekali lagi mengalami gangguan hari ini, akibat komponen Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES) disambar petir.

Pengendali perkhidmatan itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), dalam satu kenyataan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku sejak 5.46 petang tadi dan sedang berusaha menjalankan kerja baik pulih.

“Gangguan ini berpunca daripada sistem PIES yang teraktif secara tiba-tiba disyaki telah disambar petir di Stesen LRT Kerinchi dan menyebabkan tren dari kedua-dua arah tidak dapat melalui kawasan tersebut.

“Kakitangan teknikal sedang berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih. Akibat daripada gangguan tersebut, semua tren yang melalui kawasan tersebut terpaksa dipandu secara manual.

“Ini mengakibatkan kelewatan jadual perjalanan dan kesesakan platform berlaku di beberapa stesen,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut memaklumkan, perkhidmatan bas perantara percuma telah disediakan bagi membawa penumpang dari Stesen LRT Bangsar ke Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen LRT KLCC ke Stesen LRT Pasar Seni.

“Kakitangan operasi dan Polis Bantuan telah ditempatkan di platform bagi mengendalikan orang ramai.

“Pengumuman menerusi laman media sosial Rapid KL, di stesen dan di dalam tren telah dilakukan untuk makluman pengguna,” katanya.

Operasi di 16 stesen LRT dari Kelana Jaya hingga Ampang Park sebelum ini digantung pada 9 hingga 15 November, akibat masalah teknikal yang menjejaskan lebih 1.4 juta pengguna perkhidmatan itu. – Malaysiapost

Komen