Tuanku Muhriz pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260

Tuanku Muhriz pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260

MESYUARAT Majlis Raja-Raja kali ke-260 diadakan di Istana Negara, hari ini dengan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Mesyuarat itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 Jun lalu yang dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sebelum mempengerusikan mesyuarat yang bermula jam 11 pagi tadi, Tuanku Muhriz bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menyempurnakan upacara menanam pokok Buah Ajaib (Synsepalum dulcificum) di perkarangan Istana Negara, hari ini bersempena.

Istana Negara dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, memaklumkan upacara penanaman pokok itu adalah sebagai simbolik Tuanku Muhriz mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-260.

“Sebelum upacara tersebut, Tuanku Muhriz berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Dataran Utama.

“KKU dan Upacara Penanaman Pokok adalah cetusan idea Yang di-Pertuan Agong sempena Mesyuarat Raja-Raja,” menurut hantaran itu.

Mesyuarat dua hari yang bermula hari ini turut melibatkan keberangkatan semua Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan.

Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan dan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang.

Mesyuarat Raja-Raja pada hari ini turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang di-Pertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak diwakili Timbalan Premier Sarawak. – Malaysiapost

Komen