Tuduh Anwar ejen Israel, Bukit Aman siasat Ahli Parlimen Baling

Tuduh Anwar ejen Israel, Bukit Aman siasat Ahli Parlimen Baling

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan n terhadap Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad berhubung tuduhannya mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.  

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin mengesahkan PDRM telah menerima laporan polis berhubung tuduhan yang dilakukan Hassan terhadap Perdana Menteri sebagai ejen Israel.

“Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 kanun sama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu tular rakaman audio yang mengatakan Anwar mendapat pertolongan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan menjadi ejen kepada Israel.

Rakaman audio berdurasi 58 saat itu membabitkan seorang wanita mengulas mengenai pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri yang didakwa dipengaruhi Israel.

Dalam audio itu, wanita berkenaan mendakwa Hassan memaklumkan Anwar telah memberi tekanan dengan “menghubungi Israel dan kuasa asing” untuk campur tangan dalam proses itu.

Hassan bagaimanapun dilaporkan menafikan pernah menyebarkan kenyataan yang mengaitkan wujud pengaruh Israel dalam pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri. – Malaysiapost

Komen