2 kali raih anugerah kasut emas, Hashim pernah kongsi kekecewaan

2 kali raih anugerah kasut emas, Hashim pernah kongsi kekecewaan

ALLAHYARHAM Hashim Mustapha menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian, jam 10.25 malam tadi.

Pemergian bekas penyerang kebangsaan itu dianggap satu kehilangan besar buat bola sepak negara, khususnya negeri kelahirannya Kelantan.

Allahyarham yang menghidap penyakit kencing manis dan kaki kirinya sudah dipotong pada Oktober lalu, meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata.

Penulis kali pertama menyaksikan kelibat Hashim di depan mata ketika aksi Liga Semi Pro 1994 antara tuan rumah, Selangor dan Kelantan di Stadium Merdeka.

Aksi dipenuhi lebih 35,000 penonton itu menyaksikan aksi luar biasa Hashim yang memukau dengan jaringan, termasuk satunya menerusi rembatan sambil berlari dari luar kotak penalti.

Perlawanan berkesudahan seri 2-2 apabila Alistair Edwards menjaringkan gol penyamaan buat Selangor menerusi sepakan penalti pada lewat permainan.

Pada musim itu, Hashim meraih anugerah kasut emas apabila menjaringkan 29 gol daripada 30 perlawanan, mengatasi nama-nama besar khu susnya dalam kalangan pemain import.

Penyerang yang terkenal dengan kemahiran melakukan ‘bicycle kick’ itu turut memenangi anugerah kasut emas pada musim 1993.

Meskipun tidak meraih sebarang kejuaraan utama dalam Liga Malaysia bersama Kelantan, Hashim pernah membantu Kedah menjulang Piala FA pada 1996 dan juara Liga Divisyen 2 bersama Joor pada 1999.

Bersama skuad kebangsaan, Hashim pernah membantu skuad kebangsaan meraih pingat perak pada Sukan SEA 1987 di Jakarta, Indonesia.

Dia pernah bergandingan bersama dua lagi penyerang hebat, Matlan Marjan dan Azman Adnan dalam skuad bimbangan jurulatih dari Perancis, Claude le Roy pada 1994.

Sekitar 2006, penulis pernah menemubual Hashim yang ketika itu mengusahakan gelanggang futsal di Kota Bharu, tidak lama selepas persaraannya.

Antara perbualan bersama sang legenda itu yang masih segar dalam ingatan penulis ialah dia sebenarnya mahu bermain bola sepak sehingga usianya mencecah 40 tahun.

Namun terpaksa bersara lebih awal kerana memerlukan wang dan mengambil wang persaraan ditawarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada para pemain ketika itu.

Satu lagi perkara yang meninggalkan kesan mendalam buat Hashim apabila tidak dipilih sebagai penyerang terbaik musim 1994 walaupun meraih kasut emas dengan menjaringkan 29 gol.

Ceritanya kepada penulis, musim berikutnya dia menerima panggilan daripada wakil FAM meminta hadir ke majlis anugerah Liga Malaysia 1995.

Hashim pada mulanya keberatan untuk hadir kerana ‘merajuk’ setelah dinafikan anugerah penyerang terbaik pada musim sebelumnya.

Namun dia akhirnya termakan pujukan setelah dimaklumkan namanya sah akan menerima anugerah tersebut.

Cerita Allahyarham lagi, ketika majlis berlangsung di ibu negara, rupa-rupanya bukan dia yang diumumkan sebagai penyerang terbaik, sebaliknya ia menjadi milik seorang penyerang tempatan dari Pahang.

Dalam perbualan itu, jelas terpancar kekecewaan Hashim namun semangatnya untuk terus beraksi di peringkat tertinggi tidak pernah pudar.

Dia kemudian memutuskan untuk berhijrah ke Kedah sebelum ke Johor.

Ketika akhir karier sebagai pemain, Allahyarham sempat menyarung JKR Kelantan dan TNB Kelantan sebelum menggantung but.

Beliau kemudian mengusahakan gelanggang futsal di Kota Bharu sebelum kembali sebagai penolong jurulatih skuad The Red Warrior pada musim 2009.

Sentuhannya turut membantu skuad Kelantan muncul naib juara Piala FA dan Piala Malaysia pada musim tersebut.

Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solehin. – Malaysiapost

Komen