‘Apakah ‘katak’ bukan penjahat?’ soal Puad

‘Apakah ‘katak’ bukan penjahat?’ soal Puad

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi menempelak PAS yang mendakwa kononnya orang baik dan jahat tidak boleh bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

Malah, Mohd Puad mempersoalkan keputusan Muktamar PAS ke-68 yang meluluskan usul untuk bekerjasama dengan Umno jika parti itu percaya Umno adalah penyamun.

“Ramai Ahli Parlimen Bersatu adalah katak daripada Umno dan PKR. Apakah katak bukan penjahat?.

“PAS sokong Akta Anti Lompat Parti yang bermakna PAS tolak katak. Rakyat musykil juga,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang musykil tentang kemampuan dan kerjasama yang bakal dibentuk oleh kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, sebagai pembangkang, gabungan Perikatan Nasional (PN) mahu melihat bagaimana kerjasama itu berlangsung selepas pelbagai kecaman dilemparkan terhadap pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Kita nak tengok sejauh mana dia (Anwar) dapat melaksanakan apa yang disebut dalam kempen… tolak penyamun tiba-tiba berpakat dengan penyamun,” kata Tuan Ibrahim.

Dalam pada itu, Mohd Puad melahirkan rasa musykil di mana PAS mendapat banyak duit untuk diberikan kepada pengundi.

“Kita musykil PAS tuduh PH dan Umno berzina. Tetapi kita tambah musykil, mana PAS dapat banyak duit bagi pada pengundi,” katanya. – Malaysiapost

Komen