AS larang jualan produk Huawei, ZTE

AS larang jualan produk Huawei, ZTE

SURUHANJAYA Komunikasi Persekutuan (FCC) mengumumkan larangan import atau penjualan peralatan komunikasi yang dikeluarkan Huawei Technologies dan ZTE kerana dianggap berisiko terhadap keselamatan negara.

Memetik Bisnis.com kedua-dua syarikat gergasi China itu berada dalam senarai syarikat yang diklasifikasikan sebagai ancaman oleh FCC dan peraturan baharu menghalang kebenaran kemasukan peralatan mereka.

Selain Huawei dan ZTE, perintah itu juga memberi kesan kepada firma peralatan pengawasan video Hangzhou Hikvision dan Dahua Technology.

Hal ini dijangka akan menambah ketegangan hubungan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang dilihat semakin kompleks sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebelum ini, AS melarang Huawei daripada membekalkan sistem kerajaan dan sangat tidak menggalakkan penggunaan peralatannya di sektor swasta, dengan kebimbangan bahawa peralatan Huawei boleh dikompromi oleh perisikan China.

Pada 2019, AS meletakkan Huawei dalam senarai hitam perdagangan yang menghalang pembekal tempatan daripada menjalankan perniagaan dengannya.

Ketegasan AS terhadap Huawei dilihat selari dengan trend negara-negara dunia yang mula menjarakkan diri daripada syarikat gergasi China tersebut.- Malaysiapost

Komen