Azmin nafi keluar kenyataan tegur kepimpinan PAS, kait isu Taliban

Azmin nafi keluar kenyataan tegur kepimpinan PAS, kait isu Taliban

PENGARAH Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan mengeluarkan kenyataan menegur kepimpinan PAS termasuk mengaitkan isu Taliban menerusi ciapan di Twitternya.

Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Azmin mendakwa kenyataan yang disebarkan itu adalah palsu.

“Kenyataan yang disebarkan ini adalah palsu dan telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Ciapan palsu yang tular itu mendakwa, Mohamed Azmin meminta pemimpin PAS berhenti dari membuat sebarang kenyataan hasutan yang boleh menjejaskan keamanan negara.

“Negara ini bukan negara Taliban. Pemimpin harus memupuk semangat perpaduan sebagaimana titah Tuanku,” tulis cipan tular terbabit.

Semalam, Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin memaklumkan beliau sudah memberi keterangan di Balai Polis Kulim Hi-Tech malam tadi berhubung kenyataannya mengenai ‘kerajaan zina’.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, bagaimanapun menafikan kenyataannya itu menghina institusi diraja. – Malaysiapost

Komen