Bapa didakwa bunuh anak tiri

Bapa didakwa bunuh anak tiri

SEORANG bapa didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas tuduhan membunuh anak perempuan tirinya di sebuah rumah minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh C Stephen Raj, 43, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur didakwa telah melakukan perbuatan dengan niat hendak menyebabkan kematian terhadap anak perempuan tirinya yang berusia 11 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Ramal di sini pukul 11.33 malam pada 21 November lalu (2022).

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam M Manoharan.

Tiada ikat jamin dibenarkan dan mahkamah kemudian menetapkan 10 Januari untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati apabila ususnya pecah selain kepala dihentak dipercayai didera bapa tiri. – Malaysiapost

Kredit Foto: Kosmo

Komen