“Bukan suara saya” – Hassan

“Bukan suara saya” – Hassan

AHLI Parlimen Baling, Hassan Saad menafikan sekeras-kerasnya membuat sebarang kenyataan seperti didakwa dalam rakaman audio tular mengaitkan pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pengaruh Israel.

Beliau juga memohon semua pihak supaya menyiasat terlebih dahulu berhubung perkara itu sebelum mudah mempercayai apa-apa berita atau maklumat.

“Saya mengambil maklum berhubung video fitnah yang secara jelas mengaitkan saya dengan Perdana Menteri ke-10.

“Video berkenaan menggunakan gambar saya sebagai latar belakang telah mengaitkan Perdana Menteri ke-10 dengan Israel

dan dikesan tular sejak 27 November lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesan penyebaran video dengan suara latar seorang wanita itu membuatkan ada yang mempercayainya walaupun jelas ia bukanlah kenyataan atau suara miliknya.

“Justeru saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan seperti mana didakwa dan ditularkan dalam video berkenaan.

“Saya juga memohon semua pihak supaya menyiasat terlebih dahulu sebelum mudah mempercayai apa-apa berita atau maklumat,” katanya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap Hassan berhubung dakwaan mengaitkan pelantikan Perdana Menteri, dengan pengaruh Israel.  

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, mengesahkan PDRM telah menerima laporan polis berhubung tuduhan yang dilakukan Hassan itu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 kanun sama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu tular rakaman audio yang mengatakan Anwar mendapat pertolongan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan menjadi ejen kepada Israel.

Rakaman audio berdurasi 58 saat itu membabitkan seorang wanita mengulas mengenai pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri yang didakwa dipengaruhi Israel.

Dalam audio itu, wanita berkenaan mendakwa Hassan memaklumkan Anwar telah memberi tekanan dengan “menghubungi Israel dan kuasa asing” untuk campur tangan dalam proses pelantikan Perdana Menteri. – Malaysiapost

Komen