Cadangan PM tidak terbabit lantikan ahli JAC perlu dikaji lebih mendalam

Cadangan PM tidak terbabit lantikan ahli JAC perlu dikaji lebih mendalam

CADANGAN supaya Perdana Menteri tidak terbabit dalam pelantikan lima daripada sembilan Ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) perlu dikaji secara lebih mendalam.

Pengamal Undang-Undang, Khairul Anwar Rahmat berpendapat cadangan itu juga wajar dirunding dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

Beliau bagaimanapun berpandangan terdapat maksud tersirat dalam cadangan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara, hari ini.

“Kita boleh menangkap maksud tersirat cadangan ini iaitu untuk mengurangkan pemusatan kuasa Perdana Menteri, perkara ini perlu diperhalusi oleh pengamal undang-undang keseluruhannya.

“Buat masa ini, secara pentadbiran, Perdana Menteri sebelum melantik ahli JAC akan merujuk kepada beberapa badan kehakiman sama ada dari semenanjung Malaysia dan juga dari Sabah Sarawak untuk mendapatkan maklumbalas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri secara amalan pentadbirannya, akan merundingi pihak-pihak terbabit untuk mengelakkan tohmahan tidak baik terhadap ketelusan proses perlantikan hakim.

“Kendatipun begitu, penambahbaikan boleh dibuat terhadap proses perlantikan ini iaitu dengan meminda akta di Parlimen dan memasukkan beberapa pengukuhan proses pelantikan supaya ia tidak semata-mata secara pentadbiran.

“Maksudnya mesti ada panduan dan termaktub dalam undang-undang bahawa Perdana Menteri perlu merundingi pihak-pihak berkecuali sebelum memutuskan keahlian JAC,” katanya.

Khairul Anwar berkata, pada masa sama kedudukan Perdana Menteri juga perlu dihormati kerana beliau mempunyai legitimasi atau keabsahan kerana dipilih oleh rakyat berbanding pihak-pihak yang dirundingi itu.

“Sedangkan pihak-pihak yang dirundingi itu siapakah mereka? Adakah benar-benar bebas dan berkecuali dan apakah punca kuasa mereka,” soalnya.

Terdahulu Majlis Raja-Raja hari ini, menggesa agar pelantikan lima ahli JAC tidak dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perutusan Pengerusi Mesyuarat Raja-raja, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Almarhum Tuanku Munawir bertitah, proses pelantikan hakim di Malaysia pada masa ini mempunyai kelemahan dan boleh diperbaiki. – Malaysiapost

Komen