ISMA minta PM tolak tuntutan Dong Zong

ISMA minta PM tolak tuntutan Dong Zong

IKATAN Muslimin Malaysia (ISMA) meminta kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tuntutan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Naib Presidennya, Mohd Noor Azib Asmangi berkata, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bakal mewujudkan dua sistem atau dua dasar pendidikan dalam sesebuah negara.

Menurutnya, ia sekali gus menyebabkan tidak selari dengan semangat perpaduan yang menjadikan keluhuran perlembagaan sebagai teras negara.

Beliau berkata, pihaknya sejak dahulu sehingga hari ini konsisten menolak pengiktirafan UEC tidak kira parti mana yang memerintah.

“Tindakan Dong Zong yang begitu cepat mendesak pengiktirafan UEC kerana ingin mengambil peluang daripada manifesto parti Pakatan Harapan (PH) dan juga sikap keterbukaan Perdana Menteri ke-10 dalam mendengar semua pandangan.

“ISMA berharap Perdana Menteri tidak melayan tuntutan mengiktiraf UEC,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini Dong Zong memaklumkan akan bertemu dengan Menteri Pendidikan baharu untuk memberi cadangan supaya mengiktiraf UEC.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dong Zong, Leong Seng Yee, pihaknya akan meminta kerajaan mempertimbangkan perkara itu kerana sijil tersebut sudah diterima di universiti swasta dan luar negara. – Malaysiapost

Komen