Kerjasama parti politik berbeza ideologi perkara normal – Khairuddin

Kerjasama parti politik berbeza ideologi perkara normal – Khairuddin

KERJASAMA antara parti-parti politik berbeza ideologi adalah normal dalam politik sama ada sebelum atau pasca pilihan raya untuk membentuk kerajaan.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata ia adalah ijtihad semasa parti politik demi perjuangan untuk mencari kebaikan bagi rakyat.

Katanya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, PAS yang mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor mengambil keputusan menyokong DAP dan PKR yang masing-masing memenangi 11 dan 15 kerusi.

Katanya, situasi itu sekali gus membolehkan pembentukan kerajaan dengan Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim daripada PKR sebagai Menteri Besar.

“PAS menolak untuk menyokong Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 34 kerusi bagi menamatkan legasi pemerintahan BN sejak sebelum merdeka di bumi Selangor.

“Begitu juga di Perak. PAS yang hanya menang 6 kerusi DUN dalam PRU 2008 membuat keputusan menyokong DAP dan PKR yang masing-masing memenangi 18 dan tujuh kerusi.

“Hasilnya PAS dapat menjadi Menteri Besar walaupun mempunyai bilangan kerusi terkecil. PAS menolak untuk menyokong BN yang mempunyai 27 kerusi tetapi tidak boleh menubuhkan kerajaan melainkan dengan kerjasama parti lain,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, selepas penubuhan kerajaan di Selangor dan Perak, barulah ditubuhkan pakatan politik dinamakan sebagai Pakatan Rakyat.

Ujar beliau, Pakatan Rakyat bukan ditubuhkan sebelum PRU tetapi selepas PRU, dan ia dikatakan sebagai persefahaman pasca pilihan raya.

“Hari ini pasca PRU15, Perikatan Nasional (PN) yang didominasi oleh PAS memenangi 26 kerusi DUN Perak tetapi gagal membentuk kerajaan. BN pula yang mempunyai sembilan kerusi membuat keputusan membentuk kerajaan dengan PH yang mempunyai 24 kerusi dengan Menteri Besarnya daripada BN.

“Ia hanya mengulangi ‘patern’ yang hampir sama pada 2008. Bezanya dulu PAS ‘King Maker’ dan menjadi MB walau dengan enam kerusi. Begitulah roda politik berputar, sekali di atas dan sekali di bawah.

“Begitu juga di Pahang, BN mempunyai 16 kerusi setuju membentuk kerajaaan dengan PH yang ada sembilan kerusi dan tidak bersama PN yang mempunyai 17 kerusi. MB dilantik daripada BN lalu menafikan impian PN menakluk bumi Pahang,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Mohd Khairuddin berkata dalam politik setiap parti membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk kesinambungan perjuangan masing-masing kerana ia adalah ijtihad dan keputusan politik semasa.

Menurutnya, yang mengikat kerjasama antara parti-parti tersebut adalah syarat

“Apabila syarat dipenuhi, kerajaan dan gabungan politik boleh kekal. Jika sebaliknya maka gabungan politik terburai dan dileraikan di tengah jalan,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Khairuddin Aman Razali

Komen