Melly Goeslaw ziarah pusara P Ramlee, Saloma

Melly Goeslaw ziarah pusara P Ramlee, Saloma

PENYANYI dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw, meluangkan masa menziarahi pusara seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma, semalam.

Melly, 48, isteri kepada komposer terkenal Indonesia, Anto Hoed berada di Kuala Lumpur bagi sidang media konsert terbaharunya yang bakal diadakan awal tahun depan.

Dalam hantaran di Instagram, Melly mengakui telah lama mengagumi P Ramlee dan menyifatkan beliau sebagai genius muzik.

Meskipun tidak mengenali arwah secara dekat, Melly berkata, kisah hidup dan karya dihasilkan Allahyarham banyak memberi inspirasi untuk menghadirkan sentuhan bermutu buat penggemar muzik.

“Rasa kagum terhadap Allahyarham membuatkan saya berfikir panjang. Saya ingin mendapat rakan yang sejiwa dengan keinginan dalam merangka konsep dan segalanya.

“Saya terlalu kagum dengan karyanya yang genius, begitu juga kisah hidupnya yang memberi inspirasi dalam bermuzik.

“Justeru, sebaik tiba di Kuala Lumpur, saya dan suami terus menziarahi pusaranya dan Allahyarham Puan Sri Saloma. Kami juga berkesempatan bertemu cucu Saloma,” katanya.

Menurut Melly, meskipun tidak pernah kenal secara langsung, mereka mempunyai tenaga yang sama dalam menghasilkan karya supaya kelak dikenang sebagai sesuatu yang indah dalam kehidupan.

Dalam hantaran sama, Melly berkata, sejak 10 tahun lalu, banyak penganjur cuba mengundangnya untuk mengadakan persembahan di negara ini.

“Sudah lebih 10 tahun saya dan suami tidak ke Kuala Lumpur. Sebelum ini, banyak pihak yang ‘meminang’ saya untuk mengadakan konsert di sini.

“Akhirnya, menjelang penghujung tahun ini, saya menerima pinangan daripada Iman Tang dan Icon Entertainment untuk membuat konsert di Kuala Lumpur, awal tahun depan,” katanya. – Malaysiapost

Komen