Nora sebak terima skrol diploma anak

Nora sebak terima skrol diploma anak

HARI konvokesyen sepatutnya menjadi momen dinantikan semua graduan dan detik kebanggaan ibu bapa tatkala anak melangkah ke pentas menerima skrol.

Namun, ia berbeza bagi selebriti Datuk Nora Ariffin yang mewakili anaknya, Muhammad Syakir Alif Johan menerima skrol diploma di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM), semalam.

Allahyarham Alif menamatkan pengajian dalam jurusan Diploma Perfileman, UiTM.

Dalam hantaran di Instagram, Nora melahirkan rasa syukur dan gembira kerana arwah Alif sempat menghabiskan pengajian sebelum meninggal dunia.

“Alif ini untuk kamu, mama tolong ambilkan ya, Alhamdulillah… tahniah.

“Keluarga kecil saya tumpang bangga dan gembira dengan pencapaian anakanda Alif Johan yang sempat habiskan diploma sebelum kembali ke rahmatullah.

“Moga Alif tenang di sana,” katanya.

Dalam hantaran sama, Nora turut mengucapkan penghargaan kepada tenaga pengajar Fakulti Teater dan Animasi UiTM kerana memberi sokongan kepada anaknya itu.

“Terima kasih kepada semua tenaga pengajar UiTM FITA dan sahabat yang memberi sokongan pada Alif selama hayat dia.

“Terima kasih UiTM. Semoga legasi arwah dapat diteruskan. Al- fatihah,” tulisnya.

Alif menghembuskan nafas terakhir pada 14 Disember 2019 selepas tiba-tiba rebah ketika berada di rumah.

Nora sebelum itu kehilangan suami, Johan Nawawi yang juga komposer ternama pada 24 Mac 2017. – Malaysiapost

Komen