PAS gesa siasat ucapan berbaur hasutan  pemimpin DAP 

PAS gesa siasat ucapan berbaur hasutan  pemimpin DAP 

TUDUHAN Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming bahawa kerajaan pimpinan PAS sebagai ‘Kerajaan Taliban’ semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, membuktikan parti tersebut sebagai penyebar Islamophobia dalam negara.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya, berkata walaupun Kor Ming menyedari bahawa tuduhannya itu sekadar ‘omongan kosong’ namun ia tetap dipertahankan.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus  menimbulkan ketakutan masyarakat bukan Islam bukan sahaja terhadap PAS, bahkan kepada Islam secara umumnya. 

“Tambahan lagi, pemimpin DAP, Hew Kuan Yew atau dikenali sebagai ‘Superman Hew’ turut pernah menyampaikan ucapan berbaur hasutan dan menggambarkan salah faham terhadap Islam termasuk penghinaan terhadap masyarakat Melayu sendiri. 

“Mereka sengaja membutakan mata pentadbiran cemerlang dan penuh bersih PAS memimpin Kerajaan Kelantan, Terengganu dan mengetuai kerajaan Kedah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Belia berkata, kepimpinan cemerlang dan bersih PAS di ketiga-tiga negeri berkenaan menyebabkan tidak ada seorang pun masyarakat bukan Islam dinafikan hak ataupun dihalang beramal dengan agama mereka.

“Justifikasi ini sebahagiannya cukup untuk menjelaskan sikap rasis DAP sebagai penyebar Islamphobia dalam negara ini. 

“Ironinya, banyak pihak masih sengaja buat-buat tidak nampak terhadap apa yang berlaku, berkemungkinan didorong oleh kepentingan tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, PAS Kedah berpandangan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung perkara itu adalah berasaskan bukti kukuh dan bukan sekadar ‘melempar batu sembunyi tangan’. 

“Bahkan sewajarnya pihak berkuasa menyiasat ucapan-ucapan pemimpin DAP sedemikian rupa yang boleh dikaitkan dengan Akta Hasutan,” katanya.

Sebelum ini, PAS mendakwa DAP bukan sahaja menyebarkan Islamofobia tetapi berterusan melemparkan pelbagai serangan fitnah dan memburukkan imej parti yang terteraskan Islam itu.

Abdul Hadi berkata, DAP kini diibarat membaling batu di tengah khalayak pada siang hari, apabila terus menyerang PAS setelah kejayaan parti itu mencapai jumlah kerusi tertinggi dalam PRU15. – Malaysiapost

Komen