Pemimpin yang baik mampu mencantum, bukan mencarik – Khairuddin

Pemimpin yang baik mampu mencantum, bukan mencarik – Khairuddin

BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan Islam adalah mendamaikan, bukannya agama kekecohan atau pertembungan.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus meminta semua pemimpin tidak lagi bertelagah dan bergerak ke depan menyatupadukan rakyat.

“Pemimpin yang baik dan hebat ialah yang mampu mencantum bukan mencarik, menyatu bukan memecah dalam kepelbagaian identiti rakyat.

“Jangan diapi-apikan dengan pelbagai sentimen keagamaan dan perkauman kerana sekali perpaduan rakyat koyak dan rabak sangat sukar untuk dipertautkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kewajipan semua pemimpin ialah memupuk perpaduan antara rakyat walaupun wujud perbezaan berfikir dan ideologi terutamanya melibatkan politik.

“Perbezaan ilmu dan kefahaman menjadikan manusia sentiasa berbeza. Malah, Islam mengiktiraf kepelbagaian agama anutan manusia meskipun menegaskan agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam.

“Justeru, perbezaan dikecilkan jurangnya dan kesepakatan diperbesarkan saiznya. Disitulah letaknya nilai kebijaksanaan seorang pemimpin,” katanya. – Malaysiapost

Komen