Remaja maut kereta terbakar bertembung lori

Remaja maut kereta terbakar bertembung lori

SEORANG remaja maut apabila kereta dipandunya terbakar selepas bertembung dengan sebuah lori di Kampung Jirok, Jalan Serian-Sri Aman dekat Serian di Sarawak, malam tadi.

Mangsa, Derry Ronston Jong, 18, ditemui meninggal dunia dalam Perodua Alza itu dengan mengalami kesan melecur 20 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 10.24 malam sebelum mengerahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serian ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, pasukan mendapati sebuah lori 10 tan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza.

“Kemalangan itu menyebabkan kereta Perodua Alza terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, seorang mangsa kemudian ditemui mati di dalam kereta itu yang terbakar keseluruhan.

“Pemandu lori berusia 55 tahun serta kelindan lori berumur 49 tahun pula dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan, dan dihantar ke Hospital Serian untuk mendapat rawatan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2 pagi. – Malaysiapost

Komen