Undi percaya Anwar elak konspirasi Langkah Sheraton kali kedua – Kit Siang

Undi percaya Anwar elak konspirasi Langkah Sheraton kali kedua – Kit Siang

VETERAN DAP, Lim Kit Siang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan undi percaya di Parlimen pada 19 Disember ini, bagi mengelakkan ‘Langkah Sheraton’ kali kedua.

Beliau mendakwa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kini sedang cuba mewujudkan satu lagi konspirasi menumbangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) selepas mengaku sebagai dalang Langkah Sheraton pada Febuari 2020.

Katanya, langkah pertama konspirasi tersebut adalah memainkan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD).

“Isu ICERD pada tahun 2018 telah membolehkan Hadi untuk menyebarkan penipuan dan fitnah yang kononnya DAP ini anti Melayu, Islam, dan Raja, dan kononnya DAP berada di sebalik cadangan ratifikasi ini.

“Sedangkan sebenarnya para menteri dan pemimpin DAP sendiri terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada bulan September 2018 yang mengatakan bahawa Malaysia bersedia untuk meratifikasi perjanjian dan konvensyen utama PBB yang berkenaan dengan hak asasi manusia.

“Hadi masih lagi belum memohon maaf untuk segala penipuan dan fitnah yang ditaburnya mengenai DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan yang pertama mengenai isu ICERD,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kit Siang berkata, kali ini Abdul Hadi mula menabur penipuan dan fitnah baharu mengenai DAP dalam Kerajaan Perpaduan Anwar, dengan menuduh “DAP yang tidak percaya tuhan dan tidak bermoral sebagai mempromosikan Islamofobia”.

Jelas Kit Siang, sejak 56 tahun penubuhannya DAP menyokong penuh Perkara 3 Perlembagaan yang menetapkan Islam “sebagai agama rasmi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan harmoni dalam Persekutuan”.

“Jelas sekali, Hadi dan kuncu-kuncunya tidak memahami maksud “Islamofobia” tetapi mereka bercakap seakan-akan mereka ini pakar.

“Bolehkah Hadi jelaskan bilakah dia mula menyedari yang DAP ini Islamofobik pula?” soal Kit Siang.

Menurutnya, Abdul Hadi seakan-akan bimbang DAP mempunyai tiga orang Ahli Parlimen Melayu yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sebagai bukti bahawa fitnah tersebut boleh dipatahkan dalam jangka masa panjang.

Dalam masa sama, beliau berkata apa yang utama adalah kestabilan negara dan menghentikannya daripada menjadi negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik dalam empat dekad yang akan datang.

“Kita tidak boleh biarkan konspirasi Langkah Sheraton yang kedua untuk berjaya, kerana perkara ini akan membawa Malaysia beberapa dekad ke belakang,” katanya. – Malaysiapost

Komen