Warga emas didakwa tembak kucing jiran sampai mati

Warga emas didakwa tembak kucing jiran sampai mati

SEORANG lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menembak seekor kucing milik jirannya sehingga mati, hari ini.

Bagaimanapun, Aziz Tambi, 62, mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menembak seekor kucing dengan senapang angin sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap haiwan berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai di dalam Daerah Melaka tengah kira-kira jam 2.30 petang, 18 Jun 2022 lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan mengambil kira kesalahan diilakukan adalah serius.

Hakim Darmafikri kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 11 Januari depan.

Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan berasingan memiliki selaras senapang angin tanpa lesen yang sah di lokasi sama pada keesokan harinya, di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin. Manakala tertuduh diwakili peguam Ishak Kari

Mahkamah kemudian membenarkan tetruduh diikat jamin sebanyak RM2,500 serta menetapkan tarikh sebutan sama di Mahkamah Sesyen. – Malaysiapost

Kredit Foto: Utusan Online

Komen