6 negeri dicadang buat PRN serentak, Julai tahun depan

6 negeri dicadang buat PRN serentak, Julai tahun depan

PILIHAN Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri sesuai diadakan pada Julai tahun depan, kata bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.

Menurutnya, tempoh tersebut dianggap terbaik memandangkan kebanyakan jemaah haji sudah kembali ke tanah air selepas mengerjakan rukun Islam kelima itu di Mekah.

Enam negeri yang perlu mengadakan PRN ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Wan Ahmad menjelaskan, jarak masa panjang hingga Julai secara tidak langsung memberi kelegaan kepada rakyat selepas terbeban dengan ketegangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“PRU15 baru selesai, tidak sepatutnya selepas tiga atau empat bulan ada PRN pula. Keadaan ini hanya akan bangkitkan kemarahan rakyat kerana kempen politik dan perang poster berterusan mengganggu ketenteraman mereka,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau memaklumkan, lebih 10,000 pengundi berdaftar terlepas peluang menunaikan tanggungjawab mengundi jika PRN di enam negeri diadakan pada musim haji tahun depan.

Katanya, jumlah itu melebihi separuh daripada kuota jemaah haji kira-kira 30,000 orang yang ditetapkan di negara ini, setiap tahun.

Wan Ahmad berkata, kos pilihan raya di enam negeri itu boleh melebihi RM500 juta jika PRN diadakan secara berasingan.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan Harapan (PH) dan PAS perlu bersepakat agar PRN dibuat serentak bagi menjimatkan masa, wang, tenaga selain memudahkan pihak SPR menjalankan tugasan.

“Kos keseluruhan PRN di enam negeri itu dianggarkan RM450 juta tetapi jika dibuat berasingan iaitu di negeri PH dan kemudian di negeri PAS, maka perbelanjaan akan bertambah hampir RM100 juta lagi,” katanya. – Malaysiapost

Komen