90% masalah air di Pahang selesai dalam tempoh 5 tahun

90% masalah air di Pahang selesai dalam tempoh 5 tahun

Ben Ibrahim

KERAJAAN Pahang memberi jaminan dapat menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu dalam tempoh lima tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua kerja naik taraf dan penukaran paip sedang dilakukan secara berperingkat di seluruh Pahang dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM900 juta.

“Projek air ini sebenarnya sampai bila-bila, kita buat secara berperingkat, kita tak buat sekaligus. Tetapi pokoknya kita berikhtiar dan berusaha supaya masalah bekalan air di Pahang ni akan kita selesaikan 90 peratus dalam masa lima tahun dari sekarang.

“Maksudnya dalam masa lima tahun, 90 peratus dan melibatkan kos RM900 juta, ini semua perancangan dan kalau ada tohmahan kita tidak buat dan sebagainya, itu tidak betul.

“Duit dah ada, nak buat saja, pelaksanaan saja, bukan kata baru nak cari duit, nak minta permohonan, kita dah ada dah peruntukan, tunggu pelaksanaan dan pelaksanaan itu secara peringkat demi peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada dalam sidang media selepas sesi taklimat isu berkaitan bekalan air Mukim Endau di sebuah hotel dekat Teluk Gading, Rompin, petang tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Saiful Zaini Mohd Bokhari.

Wan Rosdy turut memaklumkan sebanyak tujuh projek yang sudah siap dan sedang dilaksanakan di kawasan Tioman bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air dihadapi penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, peruntukan berjumlah RM103.8 juta disediakan bagi kerja baik pulih dan pembinaan loji rawatan air (LRA) serta penukaran paip baharu dalam semua projek terbabit.

“Bagi dewan undangan negeri (DUN) Tioman, peruntukan melibatkan tujuh projek di mana dua daripadanya telah pun siap iaitu di kerja-kerja elektrik, pemasangan paip air mentah, pam air bersih serta kerja-kerja lain di LRA Sepayang serta Projek Bekalan Air Luar Bandar Sistem Retikulasi Negeri Pahang zon 1 di Kampung Merlak.

“Lima lagi projek ialah naik taraf LRA Sepayang Fasa ke 2 berkapasiti 36.4 juta liter sehari (GLH) (siap 2025), projek pembinaan rumah pam dan tangki sedutan di tapak tangki Tanjung Gemuk (siap Januari 2024), projek pemasangan paip MSCL 300mm dari retikulasi LRA Selendang ke tangki perkhidmatan Parit Raja (siap Disember 2023).

“Selain itu, projek pemasangan paip MSCL 200mm dan struktur sokongan merentasi Sungai Anak Endau (siap Mei 2024) dan juga Projek Bekalan Air Luar Bandar Kampung Tekek, Pulau Tioman (siap Januari 2024),” katanya. – Malaysiapost

Komen