Amalan bomoh, sihir, pengkid jadi kesalahan di Terengganu

Amalan bomoh, sihir, pengkid jadi kesalahan di Terengganu

AMALAN perbomohan dan sihir menjadi antara empat seksyen baharu yang diwujudkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, enakmen itu diluluskan untuk memperkukuhkan lagi perundangan syariah di negeri ini.

Katanya, selain itu tiga lagi seksyen baharu lain adalah kesalahan perempuan berlagak seperti lelaki (pengkid), hamil atau melahirkan anak luar nikah dan persediaan melakukan liwat.

“Enakmen tersebut akan mula dilaksanakan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Persidangan DUN Terengganu, hari ini.

Menurut beliau, pindaan enakmen itu sangat tepat pada masanya memandangkan lebih 20 tahun ia digubal dan kali terakhir pindaan dibuat adalah pada tahun 2016 iaitu hanya melibatkan lima seksyen sahaja.

“Empat seksyen baharu yang diwujudkan dalam enakmen itu melibatkan kesalahan perbomohan dan sihir, hamil atau melahirkan anak luar nikah, perempuan berlagak seperti lelaki (pengkid) dan persediaan melakukan liwat.

“Beberapa penambahbaikan yang dibuat antaranya memaksimumkan hukuman berdasarkan peruntukan 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5000 dan enam sebatan,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan umat Islam mendapatkan rawatan alternatif yang tidak bercanggah dengan hukum syarak, satu unit khas telah ditubuhkan di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk memantau perkara tersebut.

“Begitu juga dengan hukuman perempuan berlagak seperti lelaki, ia diwujudkan kerana trendnya agak membimbangkan sejak akhir-akhir ini, tidak seperti dahulu hanya lelaki sahaja yang berlagak seperti perempuan.

“Dengan pelaksanaan hukuman itu nanti, kerajaan negeri berharap rakyat Terengganu akan mematuhi perundangan Islam selaras matlamat menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera,” katanya. – Malaysiapost

Komen