Amaran hujan berterusan tahap waspada di 7 negeri

Amaran hujan berterusan tahap waspada di 7 negeri

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di tujuh negeri sehingga Ahad ini.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini, memaklumkan hujan berterusan diramalkan berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Hulu Perak), Kelantan, Terengganu dan Pahang (Jerantut, Kuantan dan Pekan).

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora tahap kategori pertama dijangka berlaku di kawasan perairan Terengganu dan Kelantan sehingga Isnin depan.

“Angin kencang timur laut berkelajuan antara 40 kilometer sejam (kmsj) dan 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di perairan Terengganu dan Kelantan sehingga Isnin depan.

“Bagi aktiviti perkapalan, angin kencang timur laut (kategori pertama) juga turut dijangka mencapai berkelajuan dan ketinggian ombak yang sama di kawasan perairan Samui, utara Tioman, Condore, Reef North, Layang-Layang, Palawan sepanjang tempoh sama,” menurut kenyataan itu.

MetMalaysia berkata, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini, berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan serta pantai termasuk bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – Malaysiapost

Komen