Anwar tak mahu cenderahati

Anwar tak mahu cenderahati

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu budaya pemberian cenderahati kepada pemimpin dihentikan kerana tidak bersesuaian dengan etika pengurusan dan pimpinan.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata budaya itu juga membebankan rakyat.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak agar tidak memberi sebarang cenderahati kepada saya dan budaya ini mesti dihentikan.

“Saya hargai niat baik saudara saudari semua tetapi ini tidak bersesuaian dengan etika pengurusan dan pimpinan serta ia membebankan rakyat,” katanya.

Anwar sebelum ini berikrar untuk memastikan kerajaan di bawah pentadbirannya melaksanakan perbelanjaan lebih berhemah bagi mengelakkan pembaziran.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pentadbiran beliau tidak akan mengulangi amalan pembaziran oleh kerajaan sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua anggota Kabinet bakal dilantik supaya tidak menggunakan wang kerajaan bagi perbelanjaan tidak perlu termasuk untuk perkara berkaitan kerja membaik pulih pejabat masing-masing.

Beliau juga telah meletakkan syarat agar tiada sebarang pembelian baharu melibatkan keperluan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) selain beliau turut akan menggunakan kenderaan sedia ada. – Malaysiapost

Komen